Tuesday, November 15, 2005

Gejala ‘Kutuk Mengutuk’ dan ‘Ampuh Mengampu’.

Gejala kutuk mengutuk dan ampu mengampu sebenarnya telah wujud sejak manusia diciptakan lagi. Amalan ini berlaku dalam semua masyarakat. Dikesempatan ini, aku ingn membicarakan tentang gejala ini dalam konteks masyarakat Malaysia kini yang dikaitkan dengan Mawimania dan juga peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sebuah organisasi
Senario 1
Cerita tentang Mawi AF3 bukan lagi sebuah fantasia. Di mana-mana ada wajah lurus bendul jejaka terhangat di pasaran bernama Mawi. Inilah gejala hedonisme yang memperlihatkan masyarakat menjadikan hiburan sebagai bahan pelarian daripada tekanan hidup. Mawi yang pernah kecundang kini menjadi buruan syarikat rakaman dan composer. Itulah penangan ketentuan Ilahi. Sebelum Mawi menang, telah wujud beberapa orang mengangkat diri sebagai presiden Mawi fan club. Hmmm….rasanya P.Ramlee tak ada fan club boleh dikenang sampai kini. Mawi yang tidak dan belum dikenali diampu dengan dokongan yang begitu memeranjatkan daripada kelab peminatnya.

Walaupun Mawi bernasib baik, tidak kurang yang membenci dirinya! Buka sahaja saluran 15 astro, bermacam-macam cacian diberikan kepada budak yang baru ingin mengecapi kemewahan. Sakit hati dan jiwa lara orang yang tidak puashati dengan pemilihan Mawi sebagai juara bertambah membusung apabila Mawi turut mengungguli vokal dan persembahan pada malam AF final. Tidak tahu apa sebenarnya yang menyebabkan orang yang mengutuk itu begitu jengkel dengan Mawi. Sedangkan Mawi tak buat salahpun selain pernah lupa lirik dan melodi.Mereka tidak sedar Mawi hanya manusia biasa yang tidak tahu apa suratan Takdir yang ditentukan buatnya.

Wartawan pula, disebabkan tugas mereka melariskan akhbar, mereka sanggup tunggu di depan rumah Mawi, menyelongkar segala cerita silam budak itu. Cerita dijadikan bahan mengampu peminat Mawi (ramai beli surat khabar/majalah) atau jadi bahan hinaan orang. Ahli politik yang agaknya tak ada benda nak dibincang, turut menjadikan Mawi sebagai bahan ucapan mereka di parlimen. Tapi paling sadis, apabila rakan artis berbondong-bondong memberikan komen terhadap juara sms pilihan penonton ini. Kalau setakat menyanyi album tak laku, janganlah beri penghinaan kepada rakan sendiri. Malaysia negara demokrasi. Kalau telinga orang memang suka bunyi yang ada sumbang-sumbang sikit nak buat macam mana? Adalah lebih wajar mereka meminati penyanyi bersuara sumbang daripada penyanyi lelaki bersubang telinga, penyanyi perempuan menayang ketiak hitam dan pusat tersembul!

Layakkah sesama artis memberi restu atau tidak kepada orang lain yang ingin mencari rezeki dalam dunia hiburan? Ia umpama penjual ikan masin yang melarang penjual telur masin berniaga! Benar-benar lucu bukan? Memang benar teknik nyanyian Mawi tidak berapa betul tetapi berilah dia peluang untuk belajar. Takkanlah kita mengharapkan seorang anak peneroka mempunyai suara yang celik-celik je dapat suara merdu bak buluh perindu (walaupun ayahnya dulu banyak menebang pokok buluh). Siti Nurhalizapun rasanya banyak berlatih menyanyi sejak dari kecil, lebih-lebih lagi Jac yang menjadi penyanyi di pub. Mawi pula banyak menghabiskan masanya belajar mengaji Quran ataupun membantu keluarganya mencari apa jua rezeki yang halal.

Tambah kabut kehidupan artis-artis lain apabila Mawi direbut oleh pelbagai syarikat untuk dijadikan duta. Dari syarikat kereta hingga ke mee segera. Lambat pula syarikat pencukur rambut mengambil Mawi. Itulah Mawi. Jadi Ibu duit. Orang yang berusaha konon-kononnya menjadi tulang belakang Mawi tentulah ajk kelab peminatnya. Tapi kita lihat sampai bila mereka boleh menjadi pengampu kepada perjalanan seni Mawi. Manusia yang diampu kerana kejayaannnya, dan dikutuk kerana kejayaannya juga.

Masyarakat Malaysia memang tidak ada kuasa pengimbang. Kalau nak kutuk, kutuk sampai mati. Kalau nak ampu, ampu sampai konyol! Begitulah dunia hiburan. Setiap detik dan ketika, ada idola baru akan muncul. Cuma masyarakat sahaja yang belum pernah berubah!

Senario 2
Nasib Mawi ni sebenarnya nak dijalinkaitkan dengan satu isu yang sama tetapi berbeza. Ia adalah isu kepemimpinan sebuah organisasi. Seorang bos akan dipuji melambung oleh orang yang dikenali sebagai pengampu. Mereka akan mengampu sehingga hal peribadi yang bos tersebut sendiri tak perasan. Orang-orang yang melambung dengan ertikata lain mengampu itu, bukan melambung semata-mata kerana keikhlasan hati tetapi berlandaskan kepentingan diri sendiri. Disebabkan bos yang dilambung itu di awang-awangan, pengampu-pengampu ligat di bumi menari pelbagai rentak. Bukan setakat menari, pengampu-pengampu juga akan berusaha membisikkan madah berhelah ke telinga bos betujuan melenyapkan rezeki orang lain. Dengan kata lain, selain mengampu, mereka juga berupaya menjadikan orang lain untuk menjadi mangsa sifat keji mereka! Bos yang berada di awang-awangan pula bukannya ada masa nak periksa satu persatu, malah mereka akan ikut sahaja apa kata pengampu-pengampu ini dan menjatuhkan apa jua hukuman kepada mangsa-mangsa tersebut.

Bulan berganti tahun dan demikianlah putaran hidup. Hanya Tuhan yang berkuasa. Jika bos tersilap sedikit atau terlupa pada jasa pengampu (ramai sangat- bos sendiri tak boleh ingat), dan pengampu dah tak larat nak meminjamkan bahunya untuk dipijak sang bos, berlakulah pusingan hidup sebagaimana kehidupan artis-artis tadi. Jika dah letih mengampu bos, atau tidak diberi keistimewaan selayaknya, kesalahan bos akan dicari dan dicanang keliling negeri. Wujudkan pula idola baru untuk dijadikan galang ganti kepada bos lama. Beginilah realiti kehidupan masa kini. Walaupun bos yang lama bertukar dan baru mula menunjukkan kuasanya, pengampu, pengutuk akan tetap menjalankan tanggung jawab mereka sehingga ke titisan darah terakhir. Jika bos baru tidak dapat memberikan kepuasan hawa nafsu pengampu-pengampu, alamatnya bos baru akan menerima nasib yang sama. Pengampu-pengampu akan terus menari! Mereka akan terus melolong! Umpama anjing melolong di waktu malam gelap pekat!

Berilah peluang orang lain mengecapi rezeki yang telah Tuhan tentukan kepada mereka. Kebahagiaan orang lain adalah kebahagiaan kita bersama. Gejala kutuk mengutuk dan ampu mengampu yang hanyalah satu perkara buruk yang akan menjadikan manusia makhluk yang hina.

5 Comments:

At 8:33 pm, Anonymous Anonymous said...

Amboii.. ada cerita panas ke As di "sana"? Macam ada-ada pula bendanya.. :)

Suka baca entri ko yang ini. Tapi saya dok harap ko kutuk si Mawi dengan lebih brutal lagi.. alih-alih ko pula jadi neutral.. ha ha ha ha ha!

 
At 11:43 pm, Blogger asmiaty said...

This comment has been removed by a blog administrator.

 
At 2:03 pm, Blogger asmiaty said...

panas rem...sini macam-macam ada bukan macam ada-ada. kesian bah mau kutuk si mawi tu..mukanyapun muka kesian...dah puas menderita. biarlah dia mengecapi bahagia hek hek..dengar2 cerita albumnya banyak lagu best2.

 
At 2:08 pm, Blogger asmiaty said...

sekarang, dalam surat khabar dah mengatakan bahwa separuh ajk tertinggi mawi yang lantik diri sendiri dalam MFC dah letak jawatan. Apa kes? baru dua hari aku cakap pasal ni..hehehe..alasan, mawi tak dengar cakap mereka ...adoi..

 
At 11:45 am, Blogger asmiaty said...

along angah dapat cerita dari kawan dia yg duduk depan rumah, depa kata, bapa dia kalu tengok gambar mawi kat suratkhbar, bapa dia koyak2kan gambar dia..wah sadis juga bapa kawan along ni...tapi rupanya, sebab mak dia minat sangat kat mawi kahkahakha

 

Post a Comment

<< Home